Wellness

Penjagaan Buah Pinggang - Pantau Sebelum Terlambat

Buah pinggang adalah organ penting yang bertanggungjawab untuk menapis darah, mengeluarkan sisa buangan dan lebihan cecair dari badan. Tanpa penjagaan yang betul, buah pinggang boleh rosak secara perlahan-lahan tanpa disedari.
March 10, 2025    |    6 Views
penjagaan-buah-pinggang-pantau-sebelum-terlambat

Kenali Fungsi Buah Pinggang

Buah pinggang adalah sepasang organ berbentuk kacang, terletak di bahagian belakang atas abdomen – satu di sebelah kiri dan satu lagi di sebelah kanan tulang belakang. Walaupun saiznya hanya sebesar penumbuk, (dengan berat setiap satunya hanya sekitar 150-170 gram) fungsinya sangat besar dan penting untuk kelangsungan hidup.

Buah pinggang berperanan utama untuk menapis darah – menyerap bahan yang diperlukan oleh badan dan menyingkirkan sisa bahan toksik serta bahan kimia yang tak diperlukan oleh badan melalui air kencing. Yang berikut merupakan antara fungsi penting buah pinggang:

  • Menapis darah: Sekitar 180 liter darah ditapis setiap hari dan daripada jumlah itu kira-kira 1.5 liter air kencing dihasilkan, untuk membawa keluar toksin, urea, serta sisa metabolik yang tidak diperlukan oleh badan.
  • Menapis darah: Sekitar 180 liter darah ditapis setiap hari dan daripada jumlah itu kira-kira 1.5 liter air kencing dihasilkan, untuk membawa keluar toksin, urea, serta sisa metabolik yang tidak diperlukan oleh badan.
  • Mengawal tekanan darah: Melalui sistem renin-angiotensin-aldosteron, buah pinggang membantu mengatur jumlah air dan garam, yang secara langsung mempengaruhi tekanan darah.
  • Menghasilkan hormon penting yang mengawal tekanan darah
    • Erythropoietin (EPO): Merangsang penghasilan sel darah merah di sumsum tulang. Buah pinggang mengeluarkan lebih banyak EPO, ketika kadar oksigen dalam darah berkurang (ketika dalam situasi altitud tinggi atau penyaki anemia)
    • Calcitriol (bentuk aktif vitamin D): Membantu penyerapan kalsium untuk tulang yang sihat.

Fungsi-fungsi ini berlaku setiap hari tanpa kita sedar, namun apabila fungsi buah pinggang mula gagal, kesannya boleh menjadi sangat serius dan merebak ke seluruh sistem
badan.

Tanda-Tanda Awal Masalah Buah Pinggang

Ramai orang tidak menyedari bahawa fungsi buah pinggang mereka telah mula menurun, kerana simptomnya hanya muncul apabila kerosakan yang dialami buah pinggan sudah agak teruk. Beberapa tanda awal yang perlu diberi perhatian termasuk:

  • Keletihan yang melampau
  • Bengkak pada kaki, pergelangan atau muka
  • Kerap kencing (terutamanya waktu malam)
  • Air kencing berbuih atau berdarah
  • Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal
  1. Amalkan Gaya Hidup Sihat
    • Minum air secukupnya (tapi bukan berlebihan): Air yang mencukupi membantu proses penapisan, tetapi pengambilan berlebihan boleh membebankan buah pinggang.
    • Elakkan makanan tinggi garam dan gula : Makanan yang kaya dengan garam dan gula boleh meningkatkan tekanan darah serta memperburuk keadaan buah pinggang.
    • Hadkan pengambilan daging merah dan makanan diproses : Daging merah dan makanan diproses boleh memberi tekanan kepada buah pinggang dan meningkatkan risiko penyakit buah pinggang.
    • Kekalkan berat badan ideal: Berat badan yang sihat boleh mengurangkan risiko diabetes dan hipertensi, yang merupakan penyebab utama kerosakan buah pinggang.
  2. Kawal Penyakit Kronik
    • Pantau dan kawal tekanan darah: tekanan darah tinggi jika tidak dikawal boleh merosakkan buah pinggang.
    • Kawal paras gula dalam darah (terutama jika ada diabetes)
  3. Elakkan Pengambilan Ubat Tanpa Nasihat Doktor
    • Ubat tahan sakit (NSAIDs) jika diambil berlebihan boleh merosakkan buah pinggang. Selalu dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil ubat-ubatan.
  4. Lakukan Pemeriksaan Kesihatan Berkala
    • Lakukan ujian air kencing dan darah (seperti kreatinin dan eGFR) untuk memantau fungsi buah pinggang secara berkala.

 

Pemeriksaan Buah Pinggang : Apa yang Perlu Dipantau?

Menjaga buah pinggang bermula dengan memantau nombor-nombor penting,  terutamanya bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas atau mempunyai faktor risiko seperti diabetes atau tekanan darah tinggi. 

Pemeriksaan kesihatan tahunan adalah cara terbaik untuk mengetahui sekiranya buah pinggang kita sihat dan berfungsi dengan baik.

Beberapa ujian berikut selalunya ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan kesihatan, tetapi penting juga untuk anda tahu apakah tujuan ujian-ujian tersebut dan adakah membantu anda memantau kesihatan buah pinggang.

  • Tekanan darah: ekanan darah yang tinggi adalah salah satu penyebab utama kerosakan buah pinggang. Jika tekanan darah tinggi tidak dikawal, ia boleh merosakkan saluran darah dalam buah pinggang dan mengganggu fungsinya.
  • Paras gula dalam darah: Jika anda mempunyai diabetes atau tahap gula darah yang tinggi, risiko untuk buah pinggang rosak meningkat. Oleh itu, penting untuk memantau paras gula dalam darah untuk mengelakkan kerosakan yang berpanjangan.

  • Ujian air kencing: Ujian ini adalah untuk mengesan kehadiran protein atau darah dalam air kencing. Kehadiran bahan-bahan ini dalam air kencing boleh menjadi tanda awal kerosakan buah pinggang, kerana buah pinggang yang sihat seharusnya tidak membenarkan bahan-bahan tersebut masuk ke dalam air kencing.

  • Ujian darah (Kreatinin dan eGFR): Kreatinin adalah bahan buangan yang dihasilkan oleh otot. Jika paras kreatinin dalam darah tinggi, ia mungkin menunjukkan bahawa buah pinggang tidak berfungsi dengan baik. Ujian eGFR (Estimated Glomerular Filtration Rate) atau anggaran kadar penapisan glomerulus pula mengukur kecekapan buah pinggang dalam menapis darah. eGFR membantu doktor menentukan sama ada buah pinggang berfungsi dengan baik atau ada tanda-tanda kegagalan buah pinggang.

Pada kebiasaannya, bacaan eGFR memberikan gambaran awal berikut: 

eGFR > 90: Fungsi buah pinggang normal.

eGFR antara 60-89: Fungsi buah pinggang sedikit berkurang, tetapi tidak ada masalah yang serius. Pemerhatian lebih lanjut disarankan.

eGFR < 60: Menunjukkan penurunan fungsi buah pinggang yang lebih ketara dan mungkin memerlukan perhatian perubatan.

eGFR < 15: Menunjukkan kegagalan buah pinggang, yang memerlukan rawatan segera seperti dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Mulakan dengan saringan kesihatan yang paling minimum, tetapi pastikan ia merangkumi ujian-ujian yang dapat membantu memantau kesihatan buah pinggang. Jika keputusan ujian awal menunjukkan keperluan untuk pemeriksaan lebih lanjut, doktor anda akan mencadangkan ujian tambahan berdasarkan hasil ujian darah dan air kencing yang telah dilakukan.

Kesimpulan

Penjagaan buah pinggang bukan hanya untuk mereka yang sakit — ia adalah langkah pencegahan untuk semua. Lebih awal kita mula, lebih besar peluang untuk kekalkan kesihatan buah pinggang seumur hidup.

References

-