Wellness

Jaga Diri Ketika Cuaca Panas: Langkah Mudah Tapi Penting

Cuaca panas sudah tiba! Ketahui cara melindungi diri, kekal segar, dan bergembira di bawah matahari dengan panduan lengkap ini — daripada tips penjagaan kulit hingga aktiviti sesuai untuk seisi keluarga.
July 3, 2025    |    4 Views
jaga-diri-ketika-cuaca-panas-langkah-mudah-tapi-penting

Cuaca yang panas terik ditambah dengan keadaan persekitaran yang kering, bukan sahaja menyebabkan tubuh berasa cepat letih, tetapi juga boleh menjejaskan kesihatan kulit, menyebabkan dehidrasi, dan juga meningkatkan risiko strok haba.

Oleh itu, amat penting untuk kita mengambil langkah-langkah penjagaan diri agar cuaca panas tidak mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan diri dan keluarga.

Dalam artikel ini, kami kongsikan beberapa panduan untuk membantu anda kekal sihat, selesa dan bertenaga sepanjang cuaca panas berpanjangan — bermula dari penjagaan kulit, pemakanan sihat, hinggalah kepada aktiviti harian dan langkah keselamatan yang boleh diamalkan.

1. Penjagaan Kulit dan Badan dalam Cuaca Panas

Sinaran ultraviolet (UV) lebih kuat dan berbahaya ketika cuaca terik. Pendedahan berlebihan terhadap sinar UV bukan sahaja membuat kulit mudah terbakar malah meningkatkan risiko penuaan awal dan kanser kulit. Berikut adalah beberapa tip penjagaan untuk melindungi kulit dan tubuh anda:

  • Gunakan pelindung matahari (sunscreen)
    Pilih pelindung matahari spektrum luas (broad-spectrum) dengan sekurang-kurangnya SPF 30. Sapu sekurang-kurangnya 20 minit sebelum keluar dan ulangi setiap dua hingga tiga jam, terutama selepas berpeluh banyak atau selepas berenang.

  • Minum air kosong secukupnya
    Cuaca panas membuatkan badan cepat kehilangan cecair. Minum air kosong secukupnya setiap hari untuk kekal terhidrat dan bantu tubuh mengekalkan suhu optimum.

  • Gunakan pelembap selepas mandi
    Selepas terdedah kepada cuaca panas, kulit mudah kering. Gunakan pelembap selepas mandi untuk bantu kunci kelembapan dan pulihkan semula lapisan kulit.

2. Pemakanan Sihat untuk Musim Panas

Selain penjagaan luaran, pengambilan makanan dan minuman turut memainkan peranan penting agar memastikan tubuh sentiasa dalam keadaan optima walaupun dibawah  panas matahari yang membahang panas.

  • Banyakkan makan buah dan sayur segar
    Tembikai, oren, timun, mangga, dan betik bukan sahaja enak malah kaya air dan vitamin untuk menyejukkan badan. Salad juga pilihan baik untuk anda dan keluarga.

  • Minuman sihat untuk kekal segar
    Selain air kosong, anda boleh menyediakan campuran air buah, minuman kisar buah-buahan segar, teh herba sejuk tanpa gula, atau air kelapa segar sebagai penghilang dahaga. Elakkan pengambilan minuman bergas dan bergula kerana ia membuat anda lebih cepat dahaga dan lesu.

  • Kurangkan makanan berat dan pedas
    Makanan bergoreng dan bercili lambat dihadam dan membuatkan tubuh cepat panas, sekali gus menjejaskan tahap tenaga anda. Sebaliknya, makan dalam kuantiti sederhana dan utamakan masakan kukus, panggang, dan sup untuk pencernaan yang lebih baik.

3. Aktiviti Menarik untuk Cuaca Panas

Cuaca panas adalah peluang terbaik untuk anda dan keluarga meluangkan masa berkualiti. Namun, pastikan anda memilih waktu dan lokasi sesuai agar tetap selamat dan selesa.

  • Berkelah dan bercuti di luar
    Bawa anak-anak ke taman, pantai, air terjun, atau pusat rekreasi berhampiran. Selain seronok, aktiviti luar mengeratkan hubungan keluarga dan memberi peluang kepada anak-anak bermain dan berlari di ruang terbuka.

  • Sukan ringan dan riadah
    Berjalan kaki di taman, berbasikal, bermain bola tampar pantai, atau mandi-manda di kolam renang ialah contoh riadah sesuai semasa musim panas. Cuma pastikan anda keluar sebelum 10 pagi atau selepas 4 petang, apabila pancaran matahari kurang terik.

  • Projek kreatif di rumah
    Jika cuaca terlalu panas untuk keluar, gunakan peluang ini untuk membuat projek DIY seperti melukis, menjahit, bercucuk tanam dalam pasu, atau mencuba resipi baru bersama anak-anak. Selain produktif, aktiviti sebegini bantu anak-anak mengisi cuti mereka dengan lebih bermakna.

4. Keselamatan dan Kesihatan di Bawah Matahari

Selain berseronok, keselamatan dan kesihatan diri tetap perlu diutamakan ketika cuaca panas.

  • Kenali tanda-tanda strok haba dan kepanasan melampau
    Pening, sakit kepala, degupan jantung laju, kulit kemerahan, dan mual adalah gejala awal strok haba bagi mereka yang tidak tahan dengan kepanasan melampau. Jika anda atau ahli keluarga mengalami tanda ini, segera cari tempat teduh, minum air secukupnya, dan rehatkan tubuh. Jika gejala berterusan, jangan teragak-agak untuk mendapatkan rawatan perubatan.

  • Elakkan keluar pada waktu panas terik
    Seboleh-bolehnya, rancang aktiviti luar sebelum jam 10 pagi dan selepas jam 4 petang. Ini adalah waktu matahari kurang terik dan risiko anda terdedah kepada strok haba dan sinaran matahari lebih rendah.

  • Utamakan rehat dan tidur secukupnya
    Cuaca panas membuatkan tubuh lebih cepat lesu. Oleh itu, pastikan anda mendapatkan tidur yang cukup dan berehat apabila perlu agar tubuh sentiasa segar dan bertenaga.

5. Pilih Pakaian yang Bersesuaian

Memakai pakaian yang sesuai sangat penting terutama ketika cuaca panas. Ia bukan sekadar soal gaya, tapi juga membantu menjaga keselesaan dan kesihatan tubuh. Berikut beberapa tips dalam memilih pakaian yang bersesuaian:

  • Utamakan fabrik yang ringan dan selesa
    Pilih kain seperti kapas, linen atau rayon kerana ia membenarkan pengaliran udara yang baik. Kain jenis ini membantu menyerap peluh dan menyejukkan badan, menjadikan anda lebih selesa walaupun dalam cuaca terik.

  • Pakai pakaian yang longgar
    Elakkan pakaian yang terlalu ketat kerana ia boleh memerangkap haba dan menyukarkan pergerakan. Pakaian yang longgar membolehkan kulit “bernafas” dan mengurangkan risiko ruam atau iritasi kulit.

  • Elakkan warna gelap yang menyerap haba
    Warna seperti putih, pastel atau warna lembut tidak menyerap haba seperti warna gelap. Ia bukan sahaja nampak segar, tetapi turut membantu badan kekal sejuk.

  • Gunakan aksesori pelindung matahari
    Topi lebar, payung, dan kaca mata hitam dapat membantu melindungi anda daripada cahaya matahari secara langsung. Untuk wanita berhijab, tudung dari material yang ringan dan tidak tebal adalah sangat disarankan.

Dengan memilih pakaian yang sesuai, anda dapat bergerak lebih selesa, kurang berpeluh, dan lebih yakin walaupun dalam cuaca yang mencabar.

6. Cuba Teknik Menyejukkan Diri

Salah satu cara mudah dan cepat untuk menyejukkan badan ialah dengan meletakkan atau melalukan air sejuk pada kawasan tertentu seperti pergelangan tangan. Bahagian ini mempunyai saluran darah utama yang dekat dengan permukaan kulit, jadi ia membantu menurunkan suhu badan dengan lebih pantas.

  • Lalukan air sejuk pada pergelangan tangan
    Lakukan selama 10–20 saat di bawah air paip. Ia boleh membantu menyejukkan darah yang mengalir ke seluruh badan, sekaligus memberi rasa lega dan sejuk.

  • Menggunakan tuala basah
    Basahkan tuala kecil dengan air sejuk dan tekapkan pada pergelangan tangan, leher, atau belakang lutut — kawasan yang mudah menyerap kesejukan.

  • Letak pek ais kecil di pergelangan tangan
    Jika berada di luar atau tak ada air, boleh guna pek ais kecil atau botol air sejuk untuk ditekapkan buat sementara waktu.

     

Langkah ringkas ini sangat berguna jika anda mula rasa panas berlebihan, pening, atau letih akibat cuaca panas. Ia juga sesuai dilakukan pada anak-anak atau warga emas yang mudah terkesan dengan suhu tinggi.

Kesimpulan

Cuaca panas yang berpanjangan bukan sahaja menjejaskan keselesaan harian, malah boleh memberikan kesan serius kepada kesihatan jika tiada langkah berjaga-jaga diambil. Dengan mengamalkan langkah-langkah mudah seperti menjaga pemakanan, memilih pakaian yang sesuai, kekal terhidrat, serta mengenali tanda-tanda awal strok haba — kita dapat melindungi diri dan keluarga daripada risiko yang tidak diingini.

Cuaca panas juga boleh menjadi waktu yang menyeronokkan jika dirancang dengan bijak. Sama ada anda ingin meluangkan masa berkualiti bersama keluarga atau menjaga diri dengan lebih baik, utamakan keselamatan dan keselesaan sebagai keutamaan.

Kesedaran awal dan tindakan bijak hari ini mampu melindungi kesihatan dalam jangka masa panjang. Hadapi cuaca panas dengan lebih bijak agar kita kekal sihat, bertenaga dan ceria sepanjang hari. 🌤️💧

References

https://infosihat.moh.gov.my/cuaca-panas.html. Accessed 25 June 2025.

https://www.mkn.gov.my/web/ms/2023/04/16/amalkan-tips-sihat-dalam-menghadapi-cuaca-yang-panas-elak-dari-terkena-strok-haba. Accessed 25 June 2025.

https://eco1.upm.edu.my/artikel/8_tips_menghadapi_cuaca_panas-7880. Accessed 1 July 2025.
Tags
-