Ramai Kata Malas, Tapi Sebenarnya ADHD
ADHD dalam kalangan dewasa sering disalah faham sebagai masalah disiplin atau sifat malas. Ketahui gejala sebenar, jenis-jenis ADHD dan strategi berkesan untuk menguruskan kehidupan seharian dengan lebih teratur dan bermakna.
Menelusuri Dunia ADHD
Semua orang pernah hilang fokus. Namun, sejauh mana kesukaran memberi tumpuan itu menjejaskan kehidupan anda?
Bayangkan anda berada di sebuah kafe yang sibuk, cuba menyiapkan tugasan penting. Tetapi fikiran anda melayang dari satu topik ke satu topik yang lain, dengan dentingan bertalu-talu notifikasi telefon tanda mesej baru masuk. Tanpa sedar, satu jam sudah pun berlalu dan satu pun tugasan belum diselesaikan.
Keinginan untuk menyelesaikan semua tugasan membuak-buak dan anda cuba melakukan semuanya pada masa yang sama, tetapi akhirnya… tiada satu pun yang berjaya diselesaikan
Inilah antara gambaran bagi mereka yang mengalami ADHD (Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif) — satu keadaan masalah perkembangan otak (neurodevelopmental) di mana tugas harian yang rasa biasa pada orang lain boleh jadi sangat mencabar pada mereka.
ADHD selalunya melibatkan kesukaran untuk fokus, kecenderungan bertindak tanpa berfikir panjang, dan tahap tenaga yang lebih tinggi daripada biasa. ADHD tidak mengancam nyawa, tetapi ia boleh menjejaskan hubungan sosial, pencapaian akademik atau kerjaya, serta penglibatan seseorang dalam masyarakat.
Gejala ADHD
Gejala yang dialami boleh berbeza-beza dari segi tahap dan keseriusan antara individu. Tidak semua orang dewasa yang mengalami gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) akan menunjukkan setiap gejala yang disenaraikan di sini, namun berikut adalah ciri-ciri yang lazim dialami oleh golongan dewasa dengan ADHD:
- Impulsif: Menghadapi kesukaran mengawal tindakan secara spontan atau tanpa berfikir panjang. Ini boleh ditunjukkan melalui keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa, mengeluarkan kata-kata tanpa berfikir terlebih dahulu, atau terlibat dalam tingkah laku berisiko tanpa mempertimbangkan akibatnya.
- Kesukaran Mengurus Keutamaan: Kesukaran untuk mengurus dan menyusun keutamaan merupakan salah satu gejala utama ADHD dalam kalangan orang dewasa. Individu mungkin menghadapi kesukaran untuk mengurus tugasan, janji temu dan tanggungjawab harian, yang boleh menyebabkan persekitaran menjadi tidak teratur serta kerap terlepas tarikh akhir.
- Pengurusan Masa yang Lemah: Orang dewasa yang menghidap ADHD sering mengalami kesukaran dalam pengurusan masa. Mereka mungkin meremehkan tempoh yang diperlukan untuk menyelesaikan sesuatu tugasan, sukar merancang serta mengikuti jadual, dan menghadapi cabaran dalam membahagikan masa secara seimbang untuk pelbagai aktiviti.
- Sukar Memberi Tumpuan pada Sesuatu Tugasan: Kesukaran untuk kekal fokus merupakan salah satu cabaran utama bagi individu dewasa dengan ADHD. Gangguan daripada persekitaran atau pemikiran dalaman sering menyebabkan mereka tidak dapat menyiapkan tugasan dengan lancar atau konsisten.
- Sukar Melakukan Pelbagai Tugasan Serentak (Multitasking): Walaupun terdapat anggapan bahawa individu dengan ADHD mampu mengurus pelbagai tugasan dalam satu masa, hakikatnya ramai berdepan kesukaran apabila cuba melakukan terlalu banyak perkara dalam satu masa. Ini boleh menyebabkan kekeliruan, tekanan, dan kesukaran untuk menetapkan keutamaan atau menyiapkan tugasan dengan cekap.

- Tingkah Laku Hiperaktif atau Keresahan: Hiperaktif sering dianggap sinonim dengan ADHD, namun manifestasinya dalam kalangan orang dewasa mungkin berbeza berbanding kanak-kanak. Individu dewasa yang menghidap ADHD cenderung mengalami keresahan dalaman, kesukaran untuk berehat, atau dorongan berterusan untuk sentiasa melakukan sesuatu.
- Perancangan yang Lemah: Merancang lebih awal dan mengatur tugasan boleh menjadi cabaran bagi orang dewasa yang mempunyai ADHD. Individu mungkin menghadapi kesukaran membahagikan tugasan besar kepada bahagian yang lebih kecil, kurang bersedia menghadapi cabaran, dan tidak jelas dalam merangka matlamat serta tindakan jangka panjang.
- Kesukaran Mengawal Emosi Apabila Tertekan: Orang dewasa yang mengalami ADHD sering menunjukkan toleransi yang rendah terhadap rasa kecewa. Mereka cenderung mudah berasa tertekan atau mengalami ketidakstabilan emosi apabila berhadapan dengan tekanan atau kegagalan, menjadikan pengurusan tekanan dan emosi harian satu cabaran.
Memahami ADHD dengan Lebih Jelas
Ramai yang tersilap menganggap bahawa ADHD hanyalah berpunca daripada kurang disiplin atau sifat malas. Hakikatnya, ia bukan sekadar berkait dengan kelemahan peribadi atau kurang usaha. ADHD merupakan gangguan masalah perkembangan otak yang sah dan kompleks — dan mereka yang mengalaminya tidak memilih untuk menjadi begitu.
Gangguan ini boleh berterusan hingga ke usia dewasa, namun ramai individu dewasa masih belum didiagnosis atau mengalami salah diagnosis, yang akhirnya menyumbang kepada salah faham dan stigma terhadap ADHD.
Walaupun terdapat kes salah diagnosis, Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) tetap merupakan kondisi perubatan sebenar yang boleh memberi kesan kepada individu dari pelbagai peringkat umur, latar belakang dan gaya hidup.
Jenis-Jenis ADHD
Terdapat tiga jenis utama ADHD:
- Jenis I – Kurang Daya Tumpuan (Inattentive)
- Jenis II – Hiperaktif dan Impulsif (Hyperactive-Impulsive)
- Jenis III – Gabungan (Combined)
ADHD Jenis 1 – Ciri Utama Kekurangan Daya Tumpuan (ADHD-PI):
Individu dengan subjenis ini cenderung menghadapi kesukaran untuk memberi tumpuan secara konsisten terhadap sesuatu tugasan. Mereka sering kelihatan pelupa, kurang teratur, dan bergelut untuk memahami serta menyempurnakan arahan atau tugasan yang diberikan.
Simptom yang sering dikaitkan termasuklah:
- Sukar memberi tumpuan kepada perkara terperinci dan kadangkala melakukan kesalahan akibat kurang perhatian.

- Mengalami kesukaran untuk mengekalkan fokus ketika menjalankan tugasan atau semasa melakukan aktiviti santai.
- Sering tersalah letak atau kehilangan barang penting yang diperlukan untuk menyempurnakan sesuatu tugasan.
- Cenderung mengelak atau berasa tidak berminat untuk melakukan tugasan yang memerlukan tumpuan mental secara berterusan.
- Kerap lupa untuk melaksanakan tugasan atau aktiviti rutin harian seperti yang dijadualkan.
ADHD Jenis 2 – Ciri Utama Hiperaktif dan Impulsif (ADHD-PH):
Mereka yang berada dalam subjenis ini lebih banyak menunjukkan ciri hiperaktif dan impulsif. Biasanya, mereka ini sukar untuk duduk diam, kerap bergerak tanpa henti, dan sering membuat keputusan secara tergesa-gesa tanpa berfikir panjang.
Gejala yang mungkin dialami termasuk:
- Sering kelihatan gelisah atau tidak dapat duduk diam
- Kerap bangun dari tempat duduk walaupun dalam situasi yang memerlukan mereka kekal duduk
- Cenderung berlari atau memanjat secara berlebihan, walaupun dalam keadaan atau tempat yang tidak sesuai
- Sukar untuk menyertai aktiviti yang memerlukan ketenangan atau dilakukan secara santai
- Sering bertindak seolah-olah didorong oleh tenaga berlebihan
- Menjawab sebelum soalan selesai ditanyakan, menunjukkan kecenderungan bertindak tanpa berfikir panjang
- Memotong percakapan atau bercakap sebelum orang lain sempat habis bercakap
- Mengalami kesukaran menunggu giliran
ADHD Jenis 3 – Gabungan Ciri-Ciri Inatentif dan Hiperaktif-Impulsif (ADHD-C):
Subjenis ADHD Persembahan Gabungan (ADHD-C) merangkumi gabungan gejala kurang daya tumpuan dan hiperaktif-impulsif yang berlaku serentak. Ini menjadikannya bentuk ADHD yang paling lazim ditemui.
Individu dengan subjenis ini biasanya menghadapi kesukaran dalam memberi tumpuan serta menunjukkan tingkah laku impulsif dan hiperaktif, yang boleh mengganggu keupayaan mereka untuk berfungsi secara optimum dalam pelbagai aspek kehidupan – sama ada di tempat kerja, dalam hubungan sosial, atau ketika mengurus tugasan harian.
Gejala yang dialami merupakan gabungan daripada ciri-ciri ADHD jenis Inatentif (ADHD-PI) dan Hiperaktif-Impulsif (ADHD-PH), sekali gus memperlihatkan cabaran berganda dalam pengurusan tingkah laku dan tumpuan.
Langkah Mengurus ADHD Secara Berkesan
Apabila didiagnos dengan ADHD bukanlah satu penghujung perjalanan,ia malah membuka ruang untuk memahami diri dengan lebih baik. ADHD tidak menjadikan anda orang yang lemah atau berbeza, sebaliknya menunjukkan bahawa cabaran yang anda hadapi adalah yang unik, dan boleh diurus dengan pendekatan yang sesuai.
terdapat pelbagai pilihan rawatan bagi individu dewasa dengan ADHD. Lazimnya, pendekatan yang digunakan termasuklah pengambilan ubat (seperti perangsang), terapi tingkah laku, kaunseling, intervensi pendidikan, serta program pembangunan kemahiran.
Kombinasi rawatan ini, yang disesuaikan dengan keperluan individu, selalunya memberikan hasil yang lebih menyeluruh dan berkesan dalam jangka masa panjang.
Penyesuaian gaya hidup dan pelaksanaan sokongan harian yang sesuai boleh membantu individu dengan ADHD mengurus simptom serta rutin harian dengan lebih berkesan. Antara langkah yang boleh diambil termasuk:
- Mewujudkan rutin harian yang konsisten bagi membantu menyusun tugasan dan aktiviti secara lebih teratur.
- Memecahkan tugasan besar kepada langkah-langkah kecil yang lebih mudah diurus untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan keupayaan menyelesaikan tugasan.
- Mencipta persekitaran kerja atau rumah yang kemas dan teratur bagi meminimumkan gangguan visual dan meningkatkan fokus.
- Memanfaatkan alat bantuan seperti perancang harian, kalendar digital, atau aplikasi peringatan untuk membantu kekal teratur dan menepati jadual.
- Mengamalkan gaya hidup sihat melalui tidur yang mencukupi, pemakanan seimbang, dan aktiviti fizikal secara konsisten, yang semuanya berperanan penting dalam mengurangkan simptom ADHD.
Kesimpulan
Dalam menghadapi dunia ADHD, penting untuk difahami bahawa diagnosis ini bukanlah cerminan keseluruhan diri anda—ia hanyalah satu aspek kecil daripada siapa anda sebenarnya. Hakikatnya, terdapat pelbagai sumber dan pilihan rawatan yang boleh membantu anda menangani cabaran yang timbul. Daripada pengurusan ubat-ubatan dan terapi tingkah laku hinggalah kepada penyesuaian gaya hidup dan sokongan komuniti, pelbagai pendekatan boleh diterokai. Dengan mengintegrasikan kaedah-kaedah ini ke dalam kehidupan seharian, anda dapat membina strategi pengurusan dan pelan rawatan yang bersesuaian dengan keperluan serta keadaan unik anda—sekali gus memperkukuh keupayaan untuk terus maju dan berkembang walaupun berdepan dengan ADHD. Anda tidak keseorangan dalam perjalanan ini—beranikan diri untuk mendapatkan sokongan, berhubung dengan mereka yang memahami, dan manfaatkan setiap bentuk bantuan yang tersedia untuk anda.
References
Smith, Melinda. “Adult ADHD: Symptoms, Treatment, and Self-Help Tips.” HelpGuide.org, https://www.helpguide.org/articles/add-adhd/adhd-attention-deficit-disorder-in-adults.htm. Accessed 19 March 2024.
Smith, Melinda, and Jake McBride. “Tips for Managing Adult ADHD.” HelpGuide.org, 5 February 2024, https://www.helpguide.org/articles/add-adhd/managing-adult-adhd-attention-deficit-disorder.htm. Accessed 19 March 2024.
Brown, Thomas E. “Attention Deficit Disorder: The Unfocused Mind in Children and Adults.” Yale School of Medicine, https://medicine.yale.edu/news/yale-medicine-magazine/article/attention-deficit-disorder-the-unfocused-mind-in-children/. Accessed 19 March 2024.
Three Malaysians share their experience living with ADHD, Healthcare Asia Daily News, https://www.healthcareasia.org/2022/three-malaysians-share-their-experience-living-with-adhd/. Accessed 19 March 2024.