15 Superfood Pilihan untuk Hidup Lebih Sihat
Makanan bukan sekadar untuk mengenyangkan—pemakanan yang simbang adalah kunci kepada kesihatan yang lebih baik. Pilih makanan kaya nutrien dan bermanfaat dapat mengurangkan risiko penyakit kronik, termasuk kanser. Ketahui manfaat superfood untuk gaya hidup lebih sihat.
Makan untuk Sihat, Bukan Sekadar Kenyang
Makanan bukan saja untuk mengenyangkan perut atau memanjakan selera, tapi juga penting untuk beri tenaga dan pastikan badan berfungsi dengan baik.
Dalam dunia moden yang serba sibuk, makanan segera dan siap diproses lebih menjadi pilihan ramai kerana masakan jadi lebih mudah, cepat dan sedap. Tapi, bila terlalu kerap ambil makanan sebegini, kita mungkin terlepas zat penting yang badan perlukan.
Berita baiknya, kesedaran tentang pemakanan sihat semakin meluas. Dengan maklumat mudah dicapai, ramai mula ambil berat tentang apa yang dimakan, dan mula pilih makanan lebih seimbang untuk diri dan keluarga.
Malah, pakar pemakanan juga semakin tekankan kepentingan makanan tinggi nutrien seperti protein, serat dan karbohidrat sihat – terutama bagi yang ingin mencegah atau menangani penyakit kronik seperti kanser dan tiga serangkai.

Superfood Kaya Nutrien : Kunci kepada Kesihatan yang Lebih Baik
Kita disaran untuk mengambil buah-buahan dan sayuran yang kaya denga antioksidan, kekacang, bijirin penuh dan juga lemak sihat untuk mengurangkan risiko pelbagai penyakit kanser dan juga penyakit-penyakit kronik lain. Pada masa yang sama, penting juga untuk kita kurangkan pengambilan makanan siap diproses dan bergoreng, bergula dan juga karbohidrat yang telah diproses.
Alam semula jadi menyediakan kita dengan pelbagai sumber makanan yang penuh nutrien dan boleh diolah menjadi makanan, namun berikut merupakan senarai 15 makanan yang diiktiraf sebagai superfood kerana kandungan khasiat dan manfaatnya yang tinggi:
- Beri (seperti beri biru, strawberi, dan raspberi)
- Sayuran berdaun hijau (seperti bayam, kale, dan Swiss chard)
- Kekacang dan biji-bijian (seperti badam, walnut, biji chia, dan biji rami)
- Bijirin penuh (seperti quinoa, beras perang, dan oat)
- Ikan berlemak (seperti salmon, makarel, dan sardin)
- Avokado
- Sayuran cruciferous (seperti brokoli, kubis bunga, dan kubis Brussels)
- Kekacang (seperti kacang, lentil, dan kacang kuda)
- Yogurt Greek
- Kunyit
- Bawang putih
- Teh hijau
- Coklat gelap
- Ubi keledek
- Tomato
Jangan ingat ini senarai lengkap ya. Ada banyak lagi makanan tidak tersenarai di atas tetapi dianggap padat nutrien dan dapat membekalkan pelbagai manfaat kesihatan apabila dimasukkan dalam diet harian. Yang penting, kenalah rajin mencari maklumat dan sesuaikan diet kita dengan keperluan tubuh.

- Beri kaya dengan anthocyanin – sejenis antioksidan yang terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna merah, ungu, dan biru. Anthocyanin tergolong dalam keluarga flavonoid, iaitu pigmen tumbuhan biru-ungu yang mengandungi nutrien penting seperti vitamin C, K, serat, dan antioksidan. Sifat-sifat ini membantu mengurangkan keradangan dan melindungi otak daripada tekanan oksidatif. Beri juga mengandungi asid ellagic yang membantu meneutralkan karsinogen dan mempunyai manfaat anti-tumor.
Beberapa contoh beri termasuk blueberry, acai berry, strawberi, kranberi, dan raspberi. Menariknya beri yang dibekukan didapati mempunyai nilai pemakanan yang sama dengan beri segar – jadi tiada alasan untuk kita tidak simpan stok beri untuk dinikmati dalam pelbagai cara.
- Sayuran cruciferous seperti brokoli, kubis, bok choy, dan kubis bunga kaya dengan vitamin C, vitamin K, dan mangan. Ia juga mengandungi sulforaphane, sebatian tumbuhan yang berpotensi melawan kanser dengan:
✅ Melindungi sel DNA daripada radikal bebas
✅ Menghalang kesan bahan kimia penyebab kanser
✅ Memperlambat pertumbuhan tumor
✅ Mendorong sel kanser untuk mati secara semula jadi (apoptosis)

Bawang Putih, Bawang Merah, Halia & Kunyit
Bahan-bahan dapur ini bukan sekadar menambah rasa dalam masakan, tetapi juga membantu mengurangkan risiko beberapa jenis kanser, seperti kanser perut, kolon, esofagus, dan payudara.
- Bawang putih – Mengandungi sebatian sulfur yang bertindak sebagai anti-bakteria, anti-kulat, anti-radang, dan anti-kanser. Untuk manfaat terbaik, cincang atau hancurkan bawang putih sebelum memasak bagi meningkatkan kandungan aktifnya.
- Bawang merah – Kaya dengan quercetin dan sebatian sulfur yang boleh menyekat karsinogen serta merangsang apoptosis (kematian sel abnormal).
- Halia – Membantu mengurangkan keradangan dan meningkatkan sistem imun.
- Kunyit – Mengandungi curcumin, sebatian aktif yang terkenal dengan sifat anti-radang dan anti-kanser.
Kekacang: Si Kecil yang Sarat Khasiat

Jangan pandang ringan kekacang seperti kacang kering, kacang pea, atau lentil—walaupun kecil, mereka ni padat dengan nutrien hebat!
Kekacang seperti lentil dan kacang kering memang tinggi kandungan folat (vitamin B9). Folat penting dalam pembentukan sel baru dan boleh mengurangkan risiko kanser tertentu, termasuk termasuk kanser pankreas dan kolorektal, apabila diambil secukupnya.
Ia juga tinggi antioksidan dan serat, yang membantu melindungi sel badan dan menyokong kesihatan usus, sekali gus mengurangkan risiko kanser kolon. Menariknya, beberapa kajian menunjukkan bahawa diet tinggi serat, termasuk daripada kekacang, mungkin membantu mengurangkan risiko kanser payudara. Lagi best, kekacang ni sangat fleksibel—boleh masuk dalam sup, salad, kaserol, atau dijadikan pencicah sihat yang sedap!
Gaya Hidup Sihat Bermula dengan Pemilihan Makanan Bijak
Pemakanan yang seimbang dan kaya dengan superfood bukan sahaja memberi tenaga, tetapi juga memainkan peranan penting dalam melindungi badan daripada penyakit kronik, termasuk kanser. Dengan pilihan makanan yang kaya dengan nutrien seperti beri, sayuran hijau, kekacang, dan banyak lagi, kita dapat memberikan tubuh kita sokongan terbaik untuk kesihatan jangka panjang. Jangan lupa, gaya hidup sihat bermula dengan pilihan bijak dalam pemakanan. Jadi, pilih makanan yang memberi manfaat, dan ambil langkah pertama menuju kehidupan yang lebih sihat hari ini!